'Saya sebak angkat mayat rakan baik, biasanya lapor kes orang lain saja...'
TAMPIN: "Saya akui sangat sebak dan hiba ketika mengangkat mayat rakan baik yang maut dalam kemalangan di Jalan Palong-Pasir Besar, pada jam 11.30 pagi tadi," kata wartawan sambilan TV3, Ezzuan Ahmad.
Ezzuan, 43, berkata kemalangan itu berlaku ketika dia bersama 13 rakannya termasuk mangsa, Roslee Mustaffa, 56, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi Kawasaki sedang dalam perjalanan ke Melaka bagi menghadiri program minggu motosikal.
Katanya, dia bersama rakannya itu bergerak dari Kemaman, Terengganu pada jam 8 pagi tadi.
Berita Harian dalam e-mel anda
"Kebiasaannya apabila berkonvoi, arwah akan berada dalam barisan tengah atau belakang, namun kali ini dia mahu berada di hadapan seolah-olah mahu mengetuai konvoi," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ezzuan berkata, biarpun perasaannya sedih ketika mengangkat mayat rakannya itu untuk dihantar ke Hospital Tampin bagi bedah siasat, dia tetap mahu melakukannya atas dasar persahabatan.
"Kami sudah lama mengenali dan hubungan kami rapat bagaikan adik-beradik dalam kumpulan pemotoran ini.
"Sebagai wartawan, sebelum ini kita melaporkan kejadian yang menimpa orang lain kepada masyarakat, namun kali ini tidak sangka saya berdepan situasi membabitkan sahabat sendiri," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, berkata kemalangan pada jam 11.30 pagi tadi, membabitkan empat kenderaan iaitu sebuah lori, dua motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki dan sebuah Proton X70.
Katanya, hasil siasatan mendapati dua motosikal ditunggang dua lelaki dari arah bertentangan memasuki laluan lori muatan ayam dan sebuah daripada motosikal berkenaan melanggar lori itu.
"Sebuah lagi motosikal yang berada di belakang sempat mengelak, namun melanggar Proton X70 yang berada di belakang lori.
"Akibat kemalangan itu, Roslee mengalami kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang satu lagi motosikal parah.
"Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah ( HTAN ), manakala mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat," katanya.Jun 3, 2023 @ 4:13pm
Anuwal berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan itu diminta tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Posting Komentar untuk "'Saya sebak angkat mayat rakan baik, biasanya lapor kes orang lain saja...'"