Kakak Asif nafi guna wang RM3,000 milik Youtuber terkenal itu

KOTA BAHRU: Kakak kepada Youtuber terkenal, Muhammad Asyiff Suhaimi, Siti Nur Atina menafikan dirinya menggunakan wang adiknya, hasil bayaran yang diterima daripada Syahmi Sazli Production.
Siti Nur Atina, 34, berkata, adiknya yang lebih dikenali sebagai Asif Suhaimi, 20, menerima bayaran sebanyak RM7,000 pada Februari lalu.
Katanya, dia memasukkan wang sebanyak RM4,000 ke dalam akaun bapanya, Suhaimi dan baki RM3,000 disimpan untuk kegunaan adiknya pada masa akan datang.
"Saya tidak memasukkan semua wang RM7,000 kepada akaun bapa dan saya simpan RM3,000 untuk kegunaan Asif termasuk bagi membeli pakaian dan kelengkapan, malah saya akan tambah jika duit itu tidak cukup.
"Namun, sebaliknya berlaku apabila saya dituduh menggunakan wang itu. Saya tidak pernah menggunakan wang Asif kerana saya juga ada perniagaan sendiri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Siti Nur Atina berkata, dia terpaksa menaikkan status di laman Facebook kerana mendakwa namanya diburukkan di laman sosial itu sehingga menjejaskan nama baiknya.
"Saya berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya yang tidak membuat laporan polis berhubung isu itu.
Terdahulu, Siti Nur Atina memuat naik status di laman Facebooknya semalam, selepas dituduh menggunakan wang Asif sebanyak RM3,000.
Posting Komentar untuk "Kakak Asif nafi guna wang RM3,000 milik Youtuber terkenal itu"